Qarun adalah nama
seorang daripada kaum Nabi Musa dan keluarganya yang dekat. Ia dikurniai Allah
s.w.t. kelapangan rezeki dan kekayaan harta benda yang besar yang tidak
ternilai bilangannya. Ia hidup mewah, selalu mujur dalam usahanya mengumpulkan
kekayaan, sehingga menjadi padatlah khazanahnya dengan harta benda dan
benda-benda yang sangat berharga. Sampaikan para juru kuncinya tidak berdaya
membawa atau memikul kunci-kunci peti khazanahnya kerana sangat banyak dan
beratnya. Ia hidup secara mewah dan menonjol di antara kaum dan penduduk
kotanya. Segala-galanya adalah luar biasa dan lain daripada yang lain.
Mahligai-mahligai tempat tinggalnya, pakaiannya sehari-hari, pelayan-pelayannya
dan hamba-hamba sahayanya yang bilangannya melebihi keperluan. Dan walaupun ia
tenggelam dalam lautan kenikmatan duniawi yang tiada taranya pada masa itu, ia
merasa masih belum puas dengan tingkat kekayaan yang ia miliki dan terus berusaha
mengisi khazanahnya yang sudah padat itu, sifat mausia yang serakah yang tidak
akan pernah puas dengan apa yang sudah dicapai. Jika ia sudah memiliki
segantang emas ia ingin memperolehi segantang yang kedua dan demikian
seterusnya.
Sebagaimana halnya dengan
kebanyakan orang-orang kaya yang telah dimabukkan oleh harta bendanya maka
Qarun tidak merasa sedikit pun bahawa dia mempunyai kewajiban sosial dengan
harta kekayaannya itu. Ia dalam hidupnya hanya memikirkan kesenangan dan
kesejahteraan peribadinya, memikirkan bagaimana ia dapat menambahkan
kekayaannya yang sudah melimpah-limpah itu. Ia telah dinasihati oleh
pemuka-pemuka kaumnya agar ia menyediakan sebahagian daripada kekayaannya bagi
menolong para fakir miskin, menolong orang-orang yang telanjang yang tidak
berpakaian dan lapar tidak dapat makanan. Ia diperingatkan bahawa kekayaan yang
ia perolehi itu adalah kurniaan dari Tuhan yang harus disyukuri dengan beramal
kebajikan terhadap sesama manusia dan melakukan perbuatan-perbuatan yang dapat
meringankan penderitaan orang-orang yang ditimpa musibah atau menderita cacat.
Diperingatkan bahawa Allah s.w.t. yang telah memberinya rezeki yang luas itu
dapat sewaktu-waktu mencabutnya bila ia melalaikan kewajiban sosialnya.
Nasihat yang baik dan
peringatan yang jujur yang dikemukakan oleh pemuka-pemuka kaumnya itu tidak
diendahkan oleh Qarun dan tidak mendapat tempat didalam hatinya. Ia bahkan
merasa bahawa kerana kekayaannya ialah yang harus memberi nasihat dan bukan
menerima nasihat. Orang harus tunduk kepadanya, mematuhi perintahnya, mengiakan
kata-katanya dan membenarkan segala tindak tanduknya. Ia menyombongkan diri
dengan mengatakan kepada orang-orang yang memberikan nasihat itu bahawa
kekayaan yang ia miliki adalah semata-mata hasil jerih payahnya dan hasil
kecekapan dan kepandaiannya berusaha dan bukan merupakan kurnia atau pemberian
dari sesiapa pun. Kerananya ia bebas menggunakan harta kekayaannya menurut
kehendak hatinya sendiri dan tidak merasa terikat oleh kewajipan sosial berupa
pertolongan dan bantuan kepada para fakir miskin dan para penderita yang
memerlukan bantuan dan pertolongan.
Sebagai tentangan
bagi para orang yang menasihatinya, Qarun makin meningkatkan cara hidup
mewahnya dan secara mempamerkan
kekayaannya dengan berlebih-lebihan. Bila ia keluar, Ia mengenakan pakaian dan
perhiasan yang bergemerlapan, membawa pengantar dan pembantu lebih banyak
daripada biasanya dan mengenderai kuda-kuda yang dihiasi dengan indah dan
cantik. Kemewahan yang ditonjolkan secara menyolok itu, merasakan iri-hati
dikalangan penduduk terutama mereka yang masih lemah imannya. Mereka
berbisik-bisik diantara sesama mereka mengeluh dengan berkata: "Mengapa
kami tidak diberi rezeki dan kenikmatan seperti yang telah diberikan kepada
Qarun? Alangkah mujurnya nasib Qarun dan alangkah bahagianya dia dalam hidupnya
di dunia ini! Dan mengapa Tuhan melimpahkan kekayaan yang besar itu kepada
Qarun yang tidak mempunyai rasa belas kasihan terhadap orang-orang yang melarat
dan sengsara, orang-orang yang fakir dan miskin yang memerlukan pertolongan
berupa pakaian mahupun makanan. Dimanakah letak keadilan Allah s.w.t. yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih
itu?"
Qarun yang tidak
mengabaikan anjuran orang, agar ia secara sukarela menyediakan sebahagiaan
harta kekayaannya untuk disedekahkan kepada orang-orang yang memerlukannya,
melarat dan miskin akhirinya didatangi oleh Nabi Musa menyampaikan kepadanya
bahawa Allah s.w.t. telah mewahyukan perintah berzakat bagi tiap-tiap orang
yang kaya dan berada. Diterangkan oleh Musa kepadanya bahawa dalam harta
kekayaan tiap ada bahagian yang telah ditentukan oleh Tuhan sebagai hak
orang-orang yang melarat dan fakir miskin yang wajib diserahkan kepada mereka.
Qarun merasa jengkel
menerima perintah wajib berzakat itu dan menyatakan keraguan dan kesangsian
kepada Musa. Ia berkata: "Hai Musa kami telah membantumu dan menyokongmu
dalam dakwahmu kepada agama barumu. Kami telah menuruti segala perintahmu dan
mendengarkan segala kata-katamu. Sikap kami yang lunak itu terhadap dirimu
telah memberanikan engkau bertindak lebih jauh dari apa yang sepatutnya dan
mulailah engkau ingin meraih harta benda kami. Engkau rupanya ingin juga
menguasai harta kekayaan kami setelah kami serahkan kepadamu hati dan fikiran
kami sebulat-bulatnya. Dengan perintah wajib zakatmu ini engkau telah membuka
topengmu dan menunjukkan dustamu dan bahawa engkau hanya seorang pendusta dan
ahli sihir belaka."
Tuduhan Qarun yang
ingin melepaskan dirinya dari wajib berzakat itu ditolak oleh Nabi Musa yang menegaskan
kembali bahawa kewajiban berzakat itu tidak dapat ditawar-tawar dan harus
dilaksanakan kerana ia adalah perintah Allah s.w.t. yang harus ditaati dan
dilaksanakan dengan semestinya. Quran tidak dapat jalan untuk mengelakkan diri
dan kewajiban zakat itu setelah berbantah dan berdebat dengan Musa maka ia
menyerah dan ditentukan berapa besar yang harus ia keluarkan zakat harta
kekayaannya.
Setelah tiba di rumah
dan menghitung-hitung bahagian yang harus dizakatkan dari harta miliknya Qarun
merasa terlampau besar yang harus dizakatkan dan merasa sayang bahawa ia harus
mengeluarkan dari khazanahnya sejumlah wang tanpa memperolehi imbalan sesuatu
keuntungan dan laba. Fikir punya fikir dan timbang punya timbang akhirnya Qarun
mengambil keputusan untuk tidak akan mengeluarkan zakat walau apapun yang akan
terjadi akibat tindakannya itu. Untuk menguatkan aksi pemboikotannya terhadap
kewajiban mengeluarkan zakat, Qarun menyebarkan fitnah kepada Nabi Musa dengan
maksud menarik orang agar menjadikan penunjang aksinya dan mengikutinya menolak
menolak kewajiban mengeluarkan zakat sebagaimana diperintahkan oleh Nabi Musa.
Ia menyebarkan fitnah seolah-olah Nabi Musa dengan dakwahnya dan penyiaran
agama barunya bertujuan ingin memperkayakan diri dan bahwa perintah zakatnya
itu adalah merupakan cara perampasan yang halus terhadap milik-milik para
pengikutnya.
Lebih jahat lagi
untuk menjatuhkan Nabi Musa dan kewibawaannya, Qarun bersekongkol dengan
seorang wanita yang diajarinya agar mengaku didepan umum bahawa ia telah melakukan
perbuatan zina dengan Musa. Akan tetapi Allah s.w.t. tidak rela nama Rasul-Nya
tercemar oleh tuduhan palsu yang diaturkan oleh Qarun itu. Maka digerakkanlah
hati wanita sewaannya itu untuk mengatakan keadaan yang sebenarnya dan bahawa
apa yang ia tuduhkan kepada Nabi Musa adalah fitnahan dan ajaran Qarun
semata-mata dan bahawasannya Musa adalah bersih dari perbuatan yang dituduh
itu.
Setelah ternyata bagi
Nabi Musa bahawa Qarun tidak beriktikad baik dan bahawa ia tidak dapat diharap
menjadi pengikut yang soleh yang mematuhi perintah Allah s.w.t. terutama
perintah wajib zakat bahkan ia dapat merosakkan akhlak dan iman para pengikut
Musa dengan sikap dan cara hidupnya yang berlebih-lebihan mewahnya, ditambahkan
pula usahanya yang tidak henti-henti merosakkan kewibawaan Nabi Musa dengan
melontarkan fitnahan dan berbagai hasutan maka habislah kesabaran Nabi Musa,
lalu berdoa ia kepada Allah s.w.t. agar menurunkan azab-Nya atas diri Qarun
yang sombong dan congkak itu, agar menjadi pengajaran dan ibrah bagi kaumnya
yang sudah mulai goyah imannya melihat kenikmatan yang berlimpah-limpah yang
telah Allah s.w.t. kurniakan kepada Qarun yang membangkang itu.
Maka dengan izin
Allah s.w.t. yang telah memperkenankan doa Nabi Musa terjadilah tanah runtuh
yang dahsyat di atas mana terletak bangunan mahligai-mahligai yang mewah tempat
tinggal Qarun dan tempat penimbunan kekayaannya. Terbenamlah seketika itu Qarun
hidup-hidup berserta semua milik kekayaan yang menjadi kebanggaannya. Peristiwa
yang menimpa Qarun dan harta kekayaannya itu menjadi ibrah bagi
pengikut-pengikut Nabi Musa serta ubat rohani bagi mereka yang beriri hati dan
mendambakan kenikmatan dan kemewahan hidup sebagaimana yang telah dialami oleh
Qarun. Mereka berkata seraya bersyukur kepada Allah s.w.t.: "Sekiranya
Allah s.w.t. telah melimpahkan rahmat dan kurnia-Nya, nescaya kami dibenamkan
pula seperti Qarun yang selalu kami inginkan kedudukan duniawinya. Sesungguhnya
kami telah tersesat ketika kami beriri hati dan mendambakan kekayaannya yang membawa
binasa baginya. Aduhai benar-benar tidaklah beruntung orang-orang yang
mengingkari nikmat Allah s.w.t.."
Isi cerita tersebut
di atas dapat dibaca dalam surah "Qashash" ayat 76 sehingga 82 dan
surah "Al-Ahzaab" ayat 69 sebagaimana berikut :~
76. Sesungguhnya Qarun adalah termasuk kaum
Musa maka ia berlaku aniaya terhadap mereka dan Kami telah menganugerahkan
kepadanya perbendaharaan harta yang kunci-nya sungguh berat dipikul oleh
sejumlah orang yang kuat-kuat. {Ingatlah} ketika kaumnya berkata kepadanya:
"Janganlah kamu terlalu bangga sesungguhnya Allah tidak menyukai
orang-orang yang terlalu membanggakan diri."
77. Dan carilah pada apa yang telah
dianugerahkan kepada mu {kebahagiaan} negeri akhirat, dan janganlah kamu
melupakan bahagianmu dari {kenikmatan} duniawi dan berbuat baiklah {kepada
orang lain} sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu dan janganlah kamu
berbuat kerosakkan di {muka} bumi ini. Sesungguhnya Allah tidak menyukai
orang-orang yang berbuat kerosakkan.
78. Qarun berkata: "Sesungguhnya aku
diberi harta itu karena ilmu yang ada padaku." Dan apakah ia tidak
mengetahui bahawasanya Allah sungguh telah membinasakan umat-umat sebelumnya
yang lebih kuat daripadanya dan lebih banyak mengumpulkan harta? Dan tidaklah
perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa itu tentang dosa-dosa mereka.
79. Maka keluarlah Qarun kepada kaumnya dengan
kemegahannya. Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia:
"Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada
Qarun, sesungguhnya ia benar-benar mempunyai peruntungan yang besar."
80. Berkatalah orang-orang yang telah
dianugerahi ilmu: "Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah
lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan tidak diperoleh
pahala itu kecuali oleh orang-orang yang sabar."
81. Maka Kami benamkan Qarun berserta rumahnya
ke dalam bumi. Maka tidak ada baginya suatu golongan pun yang menolongnya
terhadap azab Allah. Dan tiadalah ia termasuk orang-orang {yang dapat} membela
{dirinya}.
82. Dan jadilah orang-orang yang kelmarin
mencita-citakan kedudukan Qarun itu berkata: "Aduhai, benarlah Allah
melapangkan rezeki bagi siapa yang Dia kehendaki dari hamba-hamba-Nya dan
menyempitkannya. Kalau Allah tidak melimpahkan kurnia-Nya atas kita benar-benar
Dia {Allah} telah membenamkan kita {pula}. Aduhai benarlah, tidak beruntung
orang-orang yang mengingkari {nikmat} Allah." { Al-Qashash : 76 ~ 82 }
"Hai orang-orang
yang beriman, janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang menyakiti Musa
maka Allah membersihkannya dari tuduhan-tuduhan yang mereka katakan. Dan adalah
dia seorang yang mempunyai kedudukan terhormat di sisi Allah." { Al-Ahzaab
: 69 }
No comments:
Post a Comment
comment are welcome!!!