Selain tindakan
kekerasan yang ditimpakan ke atas Bani Isra'il kaumnya Nabi Musa, Fir'aun
melontarkan penghinaan dan kata-kata ejekan terhadap Nabi Musa dalam usahanya
memerangi dan membendung pengaruh Nabi Musa yang semakin beertambah semenjak ia
keluar sebagai pemenang dalam pertandingan melawan tukang-tukang sihir kaum
Fir'aun.
Berkata Fir'aun
kepada pembesar-pembesar kerajaannya: "Biarkanlah aku membunuh Musa dan
biarlah ia memohon dari Tuhannya untuk melindunginya. Aku ingin tahu sampai
sejauh mana ia dapat melepaskan diri dari kekuasaanku dan biarlah ia
membuktikan kebenaran kata-kata, bahawa Tuhannya akan melindunginya dari segala
tipu daya musuh-musuhnya."
Dalam lain kesempatan
Fir'aun berkata kepada rakyatnya yang sudah diperhambakan jiwanya, terbiasa
memuja-mujanya, mengiakan kata-katanya dan mengaminkan segala perintahnya:
"Hai rakyatku! Tidakkah kamu melihat bahawa aku memiliki kerajaan Mesir
yang megah dan besar ini di mana sungai-sungai mengalir dibawah telapak kakiku,
sungai-sungai yang memberi kemakmuran hidup dan kebahagiaan hidup bagi
rakyatku? Dan tidakkah kamu melihat kekuasaanku yang luas dan ketaatan rakyatku
yang bulat kepadaku? Bukankah aku lebih baik dan lebih agung dari Musa yang
hina-dina itu yang tidak cekap menguraikan isi hatinya dan menerangkan maksud
tujuannya. Mengapa Tuhannya tidak memakaikan gelang emas, sebagaimana lazimnya
orang-orang yang diangkat menjadi raja, pemimpin atau pembesar? Atau mengapa ia
tidak diiringi oleh malaikat-malaikat sebagai tanda kebesarannya dan bukti
kebenarannya bahwa ia adalah pesuruh Tuhannya?"
Kelompok orang yang
mendengar kata-kata Fir'aun itu dengan serta-merta mengiyakan dan membenarkan
kata-kata rajanya serta menyatakan kepatuhan yang bulat kepada segala titah dan
perintahnya sebagai warga yang setia kepada rajanya, namun zalim dan fasiq
terhadap Tuhannya. Dalam pada itu kesabaran Nabi Musa sampai pada puncaknya,
melihat Fir'aun dan pembantu-pambantunya tetap berkeras kepala menentang
dakwahnya, mendustakan risalahnya dan makin memperhebatkan tindakan kejamnya
terhadap kaum Bani Isra'il terutama para pengikutnya yang menyembunyikan
imannya kerana ketakutan daripada kejaran Fir'aun dan pembalasannya yang kejam
dan tidak berperikemanusiaan. Maka disampaikan oleh Nabi Musa kepada mereka
bahawa Allah s.w.t. tidak akan membiarkan mereka terus-menerus melakukan
kekejaman, kezaliman dan penindasan terhadap hamba-Nya dan berkufur kepada
Allah dan Rasul-Nya. Akan ditimpakan oleh Allah s.w.t. kepada mereka bila tetap
tidak mahu sedar dan beriman kepada-Nya, bermacam azab dan seksa di dunia
semasa hidup mereka sebagai pembalasan yang nyata!
Berdoalah Nabi Musa,
memohon kepada Allah s.w.t.: "Ya Tuhan kami, Engkau telah memberi kepada
Fir'aun dan kaum kerabatnya kemewahan hidup, harta kekayaan yang meluap-luap
dan kenikmatan duniawi, yang kesemua itu mengakibatkan mereka menyesatkan
manusia, hamba-hamba-Mu, dari jalan yang Engkau redhai dan tuntunan yang Engkau
berikan. Ya Tuhan kami, binasakanlah harta-benda mereka dan kunci matilah hati
mereka. Mereka tidak akan beriman dan kembali kepada jalan yang benar sebelum
melihat seksaan-Mu yang pedih."
Berkat doa Nabi Musa
dan permohonannya yang diperkenankan oleh Allah s.w.t., maka dilandakanlah
kerajaan Fir'aun oleh krisis kewangan dan makanan, yang disebabkan mengeringnya
sungai Nil sehingga tidak dapat mengairi sawah-sawah dan ladang-ladang
disamping serangan hama yang ganas yang telah menghabiskan padi dan gandum yang
sudah menguning dan siap untuk diketam. Belum lagi krisis kewangan dan makanan
diatasi datang menyusul bala banjir yang besar disebabkan oleh hujan yang turun
dengan derasnya, sehingga menghanyutkan rumah-rumah, gedung-gedung dan
membinasakan binatang ternak. Dan sebagai akibat dari banjir itu berjangkitlah
bermacam-macam wabak dan penyakit yang merisaukan masyarakat seperti hidung
berdarah dan lain-lain. Kemudian datanglah barisan kutu-kutu busuk dan
katak-katak yang menyerbu ke dalam rumah-rumah sehingga mengganggu ketenteraman
hidup mereka,menghilangkan kenikmatan makan, minum dan tidur, disebabkan
menyusupnya binatang-binatang itu ke dalam tempat-tempat tidur, hidangan
makanan dan di antara sela-sela pakaian mereka.
Pada waktu azab
menimpa dan bencana-bencana itu sedang melanda berdatanglah mereka kepada Nabi
Musa minta pertolongannya, demi kenabiannya, agar memohonkan kepada Allah
s.w.t. mengangkat bala itu dari atas mereka dengan perjanjian bahawa mereka
akan beriman dan menyerahkan Bani Isra'il kepada Nabi Musa sekirannya mereka
dapat ditolong dan terhindar dari azab bala itu. Akan tetapi apabila bala-bala
itu tercabut dari atas mrk dan hilanglah gangguan yang diakibatkan olehnya,
mereka mengingkari janji mereka dan kembali bersikap memusuhi dan menentang
Nabi Musa, seolah-olah apa yang terjadi bukanlah kerana doa dan permohonan Musa
kepada Allah s.w.t. tetapi kerana hasil usaha mereka sendiri.
Bacalah tentang isi
cerita di atas ayat 26 dari surah "Al-Mukmin" ; ayat 51 sehingga ayat
54 surah "Az-Zukhruf" ; ayat 88 dan 89 surah "Yunus" dan
ayat 130 sehingga ayat 135 surah "Al-A'raaf" sebagimana berikut :~
"Dan berkata
Fir'aun {kepada pembesar-pembesarnya} "Biarlah aku membunuh Musa, dan
hendaklah ia memohon kepada Tuhannya, kerana sesungguhnya aku khuatir dia akan
menukar agama atau menimbulkan kerosakan di muka bumi." { Al-Mukmin : 26 }
51. Dan Fir'aun berseru kepada kaumnya {seraya}
berkata: "Hai kaumku! Bukankah kerajaan Mesir ini kepunyaanku dan
{bukankah} sungai-sungai ini mengalir dibawahku, maka apakah yang kamu tidak
melihatnya?
52. Bukankah aku lebih baik dari orang yang
hina ini dan yang hampir tidak dapat menjelaskan {perkataannya}?
53. Mengapa tidak dipakaikan kepadanya gelang
emas, atau malaikat datang bersama-sama dia untuk mengiringkannya."
54. Maka Fir'aun mempergaruhi kaumnya {dengan
perkataan itu} lalu mereka patuh kepadanya kerana sesungguhnya mereka itu
adalah kaum yang fasiq." { Az-Zukhruf : 51 ~ 54 }
88. Musa berkata: "Ya Tuhan kami,
sesungguhnya Engkau telah memberi kepada Fir'aun dan pemuka-pemuka kaumnya
perhiasan dan harta kekayaan dalam kehidupan dunia, Ya Tuhan kami, akibatnya
mereka menyesatkan {manusia} dari jalan Engkau. Ya Tuhan kami, binasakanlah
harta benda mereka dan kunci matilah hati mereka maka mereka tidak beriman
hingga mereka melihat seksaan yang pedih."
89. Allah berfirman: "Sesungguhnya telah
diperkenankan permohonan kamu berdua sebab itu tetaplah kamu berdua pada jalan
yang lurus dan janganlah sesekali kamu mengikuti jalan orang-orang yang tidak
mengetahui." { Yunus : 88 sehingga 89 }
130. Dan sesungguhnya Kami telah menghukum
{Fir'aun dan} kaumnya dengan mendatangkan musim kemarau yang panjang dan
kekurangan buah-buahan, supaya mereka mengambil pengajaran
131. Kemudian apabila datang kepada mereka
kemakmuran mereka berkata: "Ini adalah kerana {usaha} kami." Dan jika
mereka ditimpa kesusahan mereka lemparkan sebab kesialan itu kepada Musa dan
orang-orang yang berserta dengannya. Ketahuilah sesungguhnya kesialan mereka
itu adalah ketetapan dari Allah, akan tetapi kebanyakkan mereka tidak
mengetahui.
132. Mereka berkata kepada Musa: Bagaiman kamu
mendatangkan keterangan kepada kami untuk menyihir kami dengan keterangan itu,
maka sesekali kami tidak akan beriman kepadamu."
133. Maka Kami kirimkan kepada mereka taufan,
belalang, kutu, katak dan darah sebagai bukti yang jelas tetapi mereka tetap
menyombong diri dan mereka adalah kaum yang berdosa.
134. Dan ketika mereka ditimpa azab {yang telah
diterangkan itu} mereka pun berkata: "Hai Musa, mohonkanlah untuk kami
kepada Tuhanmu dengan {perantaraan} kenabian yang diketahui oleh Allah ada pada
sisimu. Sesungguhnya jika kamu dapat menghilangkan azab itu daripada kami pasti
kami akan beriman kepadamu dan akan kami biarkan Bani Isra'il pergi
bersamamu."
No comments:
Post a Comment
comment are welcome!!!