Nabi Musa adalah
seorang bayi yang dilahirkan dikalangan Bani Isra'il yang pada ketika itu
dikuasai oleh Raja Fir'aun yang bersikap kejam dan zalim. Nabi Musa bin Imron
bin Qahat bin Lawi bin Ya'qub adalah beribukan Yukabad. Setelah meningkat
dewasa Nabi Musa telah beristerikan dengan puteri Nabi Syu'aib iaitu Shafura.
Dalam perjalanan hidup Nabi Musa untuk menegakkan Islam dalam penyebaran
risalah yang telah diutuskan oleh Allah s.w.t. kepadanya ia telah diketemukan
beberapa orang nabi diantaranya ialah bapa mertuanya Nabi Syu'aib, Nabi Harun
dan Nabi Khidhir. Dalam bab ini juga ada diceritakan tentang perlibatan
beberapa orang nabi yang lain di antaranya Nabi Somu'il serta Nabi Daud
Catatan :~
Para ahli tafsir
berselisih pendapat tentang Syu'aib, mentua Nabi Musa. Sebahagian besar
berpendapat bahawa ia adalah Nabi Syu'aib a.s. yang diutuskan sebagai rasul
kepada kaum Madyan, sedang yang lain berpendapat bahawa ia adalah orang lain
iaitu yang dianggap adalah satu kebetulan namanya Syu'aib juga. Wallahu A'lam
bisshawab
Kelahiran Musa Dan
Pengasuhnya
Raja Fir'aun yang
memerintah Mesir sekitar kelahirannya Nabi Musa, adalah seorang raja yang
zalim, kejam dan tidak berperikemanusiaan. Ia memerintah negaranya dengan
kekerasan, penindasan dan melakukan sesuatu dengan sewenangnya. Rakyatnya hidup
dalam ketakutan dan rasa tidak aman tentang jiwa dan harta benda mereka,
terutama Bani Isra'il yang menjadi hamba kekejaman, kezaliman dan bertindak
sewenang-wenangnya dari raja dan orang-orangnya. Mereka merasa tidak tenteram
dan selalu dalam keadaan gelisah, walau pun berada dalam rumah mereka sendiri.
Mereka tidak berani mengangkat kepala bila berhadapan dengan seorang hamba raja
dan berdebar hati mereka kerana ketakutan bila kedengaran suara pegawai-pegawai
kerajaan lalu di sekitar rumah mereka, apalagi bunyi kasut mereka sudah
terdengar di depan pintu.
Raja Fir'aun yang
sedang mabuk kuasa yang tidak terbatas itu, bergelimpangan dalam kenikmatan dan
kesenangan duniawi yang tiada taranya, bahkan mengumumkan dirinya sebagai tuhan
yang harus disembah oleh rakyatnya.
Pada suatu hari
beliau telah terkejut oleh ramalan oleh seorang ahli nujum kerajaan yang dengan
tiba-tiba datang menghadap raja dan memberitahu bahawa menurut firasat
falaknya, seorang bayi lelaki akan dilahirkan dari kalangan Bani Isra'il yang
kelak akan menjadi musuh kerajaan dan bahkan akan membinasakannya. Raja Fir'aun
segera mengeluarkan perintah agar semua bayi lelaki yang dilahirkan di dalam
lingkungan kerajaan Mesir dibunuh dan agar diadakan penyiasatan yang teliti
sehingga tiada seorang pun dari bayi lelaki, tanpa terkecuali, terhindar dari
tindakan itu. Maka dilaksanakanlah perintah raja oleh para pengawal dan
tenteranya. Setiap rumah dimasuki dan diselidiki dan setiap perempuan hamil
menjadi perhatian mereka pada saat melahirkan bayinya. Raja Fir'aun menjadi
tenang kembali dan merasa aman tentang kekebalan kerajaannya setelah mendengar
para anggota kerajaannya, bahawa wilayah kerajaannya telah menjadi bersih dan
tidak seorang pun dari bayi laki-laki yang masih hidup. Ia tidak mengetahui
bahawa kehendak Allah s.w.t. tidak dapat dibendung dan bahawa takdirnya bila
sudah difirman "Kun" pasti akan wujud dan menjadi kenyataan
"Fayakun". Tidak suatu kekuasaan bagaimana pun besarnya dan kekuatan
serta bagaimana hebatnya dapat menghalangi atau menggagalkannya.
Raja Fir'aun sesekali
tidak terlintas dalam fikirannya yang kejam dan zalim itu bahawa kerajaannya
yang megah, menurut apa yang telah tersirat dalam Lauhul Mahfudz, akan
ditumbangkan oleh seorang bayi yang justeru diasuh dan dibesarkan di dalam
istananya sendiri akan diwarisi kelak oleh umat Bani Isra'il yang dimusuhi,
dihina, ditindas dan disekat kebebasannya. Bayi asuhnya itu ialah laksana bunga
mawar yang tumbuh di antara duri-duri yang tajam atau laksana fajar yang timbul
menyingsing dari tengah kegelapan yang mencengkam.
Yukabad, isteri Imron
bin Qahat bin Lawi bin Ya'qub sedang duduk seorang diri di salah satu sudut
rumahnya menanti datangnya seorang bidan yang akan memberi pertolongan
kepadanya melahirkan bayi dari dalam kandungannya itu.
Bidan datagn dan
lahirlah bayi yang telah dikandungnya selama sembilan bulan dalam keadaan
selamat, segar dan sihat afiat. Dengan lahirnya bayi itu, maka hilanglah rasa
sakit yang luar biasa dirasai oleh setiap perempuan yang melahirkan namun
setelah diketahui oleh Yukabad bahawa bayinya adalah lelaki maka ia merasa
takut kembali. Ia merasa sedih dan khuatir bahawa bayinya yang sangat disayangi
itu akan dibunuh oleh orang-orang Fir'aun. Ia mengharapkan agar bidan itu
merahsiakan kelahiran bayi itu dari sesiapa pun. Bidan yang merasa simpati
terhadap bayi yang lucu dan bagus itu serta merasa betapa sedih hati seorang
ibu yang akan kehilangan bayi yang baru dilahirkan memberi kesanggupan dan
berjanji akan merahsiakan kelahiran bayi itu.
Setelah bayi mencapai
tiga bulan, Yukabad tidak merasa tenang dan selalu berada dalam keadaan cemas
dan khuatir terhadap keselamatan bayinya. Allah s.w.t. memberi ilham kepadanya
agar menyembunyikan bayinya di dalam sebuah peti yang tertutup rapat, kemudian
membiarkan peti yang berisi bayinya itu terapung di atas sungai Nil. Yukabad
tidak boleh bersedih dan cemas ke atas keselamatan bayinya kerana Allah s.w.t.
menjamin akan mengembalikan bayi itu kepadanya bahkan akan mengutuskannya sebagai
salah seorang rasul.
Dengan bertawakkal
kepada Allah s.w.t. dan kepercayaan penuh terhadap jaminan Illahi, maka
dilepaskannya peti bayi oleh Yukabad, setelah ditutup rapat dan dicat dengan
warna hitam, terapung dipermukaan air sungai Nil. Kakak Musa diperintahkan oleh
ibunya untuk mengawasi dan mengikuti peti rahsia itu agar diketahui di mana ia
berlabuh dan ditangan siapa akan jatuh peti yang mengandungi erti yang sangat
besar bagi perjalanan sejarah umat manusia. Alangkah cemasnya hati kakak Musa,
ketika melihat dari jauh bahawa peti yang diawasi itu, dijumpai oleh puteri
raja yang kebetulan berada di tepi sungai Nil bersantai bersama beberapa
dayangnya dan dibawanya masuk ke dalam istana dan diserahkan kepada ibunya,
isteri Fir'aun. Yukabad yang segera diberitahu oleh anak perempuannya tentang
nasib peti itu, menjadi kosonglah hatinya kerana sedih dan cepat serta hampir
saja membuka rahsia peti itu, andai kata Allah s.w.t. tidak meneguhkan hatinya
dan menguatkan hatinya kepada jaminan Allah s.w.t. yang telah diberikan
kepadanya.
Raja Fir'aun ketika
diberitahu oleh Aisah, isterinya, tentang bayi laki-laki yang ditemui di dalam
peti yang terapung di atas permukaan sungai Nil, segera memerintahkan membunuh
bayi itu seraya berkata kepada isterinya: "Aku khuatir bahawa inilah bayi
yang diramalkan, yang akan menjadi musuh dan penyebab kesedihan kami dan akan
membinasakan kerajaan kami yang besar ini." Akan tetapi isteri Fir'aun
yang sudah terlanjur menaruh simpati dan sayang terhadap bayi yang lucu dan
manis itu, berkata kepada suaminya: "Janganlah bayi yang tidak berdosa ini
dibunuh. Aku sayang kepadanya dan lebih baik kami ambil dia sebagai anak,
kalau-kalau kelak ia akan berguna dan bermanfaat bagi kami. Hatiku sangat
tertarik kepadanya dan ia akan menjadi kesayanganku dan kesayangmu".
Demikianlah jika Allah Yang Maha Kuasa menghendaki sesuatu maka dilincinkanlah
jalan bagi terlaksananya takdir itu. Dan selamatlah nyawa putera Yukabad yang
telah ditakdirkan oleh Allah s.w.t. untuk menjadi rasul-Nya, menyampaikan
amanat wahyu-Nya kepada hamba-hamba-Nya yang sudah sesat.
Nama Musa yang telah
diberikan kepada bayi itu oleh keluarga Fir'aun, bererti air dan pohon {Mu =
air , Sa = pohon} sesuai dengan tempat ditemukannya peti bayi itu.
Didatangkanlah kemudian ke istana beberapa inang untuk menjadi ibu susuan Musa.
Akan tetapi setiap inang yang mencuba dan memberi air susunya ditolak oleh bayi
yang enggan menyedut dari setiap tetek yang diletakkan ke bibirnya. Dalam
keadaan isteri Fir'aun lagi bingung memikirkan bayi pungutnya yang enggan
menetek dari sekian banyak inang yang didatangkan ke istana, datanglah kakak
Musa menawarkan seorang inang lain yang mungkin diterima oleh bayi itu.
Atas pertanyaan
keluarga Fir'aun, kalau-kalau ia mengenal keluarga bayi itu, berkatalah kakak
Musa: "Aku tidak mengenal siapakah keluarga dan ibu bayi ini. Hanya aku
ingin menunjukkan satu keluarga yang baik dan selalu rajin mengasuh anak,
kalau-kalau bayi itu dapat menerima air susu ibu keluarga itu". Anjuran
kakak Musa diterima oleh isteri Fir'aun dan seketika itu jugalah dijemput ibu
kandung Musa sebagai inang bayaran. Maka begitu bibir sang bayi menyentuh tetek
ibunya, disedutlah air susu ibu kandungnya itu dengan sangat lahapnya. Kemudian
diserahkan Musa kepada Yukabad ibunya, untuk diasuh selama masa menetek dengan
imbalan upah yang besar. Maka dengan demikian terlaksanalah janji Allah s.w.t.
kepada Yukabad bahawa ia akan menerima kembali puteranya itu.
Setelah selesai masa
meneteknya, dikembalikan Musa oleh ibunya ke istana, di mana ia di asuh,
dibesar dan dididik sebagaimana anak-anak raja yang lain. Ia mengenderai
kenderaan Fir'aun dan berpakaian sesuai dengan cara-cara Fir'aun berpakaian
sehingga ia dikenal orang sebagai Musa bin Fir'aun.
Bacalah tentang isi
cerita di atas di dalam Al-Quran dari ayat 4 hingga ayat 13 dalam surah
"Al-Qashash" sebagai berikut :~
4. Sesungguhnya Fir'aun telah berbuat
sewenang-wenang di muka bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah dengan
menindas segolongan dari mereka, menyembelih anak lelaki mereka dan membiarkan
hidup anak-anak perempuan mereka. Sesungguhnya Fir'aun termasuk orang-orang
yang berbuat kerosakan.
5. Dan Kami hendak memberi kurnia kepada
orang-orang yang tertindas di bumi {Mesir} itu dan hendak menjadi mereka
pemimpin dan menjadikan mrk orang-orang yang mewarisi {bumi}.
6. Dan Kami akan teguhkan kedudukan mereka di
muka bumi dan akan Kami perlihatkan kepada Fir'aun dan Haman berserta tenteranya
apa yang selalu mereka khuatirkan dari mereka itu.
7. Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa,
"Susukanlah dia, dan apabila kamu khuatir terhadapnya, maka jatuhkan dia
ke dalam sungai {Nil}. Dan janganlah kamu khuatir dan janganlah pula bersedih hati,
kerana sesungguhnya Kami akan mengembalikannya kepadamu, dan menjadikannya
{salah seorang} dari para rasul.
8. Maka pungutlah ia oleh keluarga Fir'aun
yang akibatnya ia menjadi musuh dan kesedihan bagi mereka. Sesungguhnya Fir'aun
dan Haman berserta tenteranya adalah orang-orang yang bersalah.
9. Dan berkatalah isteri Fir'aun: "Ia
{Musa} biji mata bagiku dan bagimu. Janganlah kamu membunuhnya, mudah-mudahan
ia bermanfaat kepada kita atau kita ambil ia menjadi anak," sedang mereka
tiada menyedari.
10. Dan menjadi kekosongan hati ibu Musa,
seandainya Kami tidak teguhkan hatinya, supaya ia termasuk orang-orang yang
percaya {kepada janji Allah}.
11. Dan berkatalah ibu Musa kepada saudara Musa
yang perempuan: "Ikutilah dia". Maka kelihatan olehnya Musa dari
jauh, sedang mereka tidak mengetahuinya.
12. Dan Kami cegah Musa dari menyusu kepada
perempuan-perempuan yang mahu menyusukannya sebelum itu, maka berkatalah
saudara Musa: "Mahukah kamu aku tunjukkan kepada kamu ahlul-bait yang akan
memeliharakannya untukmu dan mereka dapat berlaku baik kepadanya?"
13. Maka Kami kembalikan Musa kepada ibunya
supaya senang hatinya dan tidak berduka cita dan supaya ia mengetahui bahawa
janji Allah itu adalah benar, tetapi manusia kebanyakan tidak mengetahuinya."
No comments:
Post a Comment
comment are welcome!!!